BANGI, 2 November 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) terus mengorak langkah dalam memperkukuh transformasi digital menerusi Majlis Pelancaran Virtual ILIM Centre of Excellence (I.C.E) yang disempurnakan oleh Pengarah Kanan ILIM, YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, bertempat di Driveway Lobi Blok Pentadbiran, ILIM Kampus Utama Bangi.
Pelancaran ini merupakan satu lagi inisiatif ILIM dalam memperluas penggunaan teknologi digital sebagai medium penyampaian maklumat, perkongsian ilmu serta penerokaan khazanah pengetahuan dan kecemerlangan institusi.
Virtual I.C.E mengetengahkan konsep galeri maya yang membolehkan pengunjung meneroka kandungan secara digital melalui pengalaman lawatan yang lebih interaktif dan fleksibel.
Pendekatan ini membuka ruang baharu kepada warga ILIM, penjawat awam, peserta latihan serta masyarakat untuk mengenali inisiatif, peranan dan perkembangan ILIM tanpa bergantung sepenuhnya kepada lawatan fizikal.
Pembangunan platform berkenaan turut mencerminkan komitmen ILIM dalam membudayakan inovasi, memperkukuh pendigitalan perkhidmatan serta memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat dan pengalaman pembelajaran.
Majlis pelancaran yang diadakan bersempena Perasmian ILIM FEST 2026 ini turut disusuli dengan penyampaian sijil penghargaan sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan dan komitmen pihak yang terlibat dalam menjayakan inisiatif berkenaan.
Majlis ini turut dihadiri oleh seramai 32 orang pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengikuti Program Eksplorasi Falak di ILIM. Kehadiran para pelajar tersebut turut memeriahkan majlis serta memberi peluang kepada mereka untuk mengenali inisiatif pendigitalan dan inovasi yang dibangunkan oleh ILIM.
Pelancaran Virtual I.C.E diharapkan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem pembelajaran digital ILIM yang lebih dinamik, inklusif dan mudah diakses, seiring dengan aspirasi memperkukuh kecemerlangan latihan serta inovasi dalam pengurusan hal ehwal Islam.
Inisiatif ini sekali gus memperlihatkan kesungguhan ILIM untuk terus meneroka pendekatan baharu dalam memperkasa budaya ilmu dan memperluas manfaat teknologi kepada masyarakat.




