BANGI, 2 November 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) membuka tirai penganjuran ILIM FEST 2026 menerusi majlis perasmian yang disempurnakan oleh Pengarah Kanan ILIM, YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, bertempat di Bulatan Blok Pentadbiran, ILIM Kampus Utama Bangi.
Penganjuran ILIM FEST 2026 yang membawa tema "ILIM Bersama Komuniti: Ilmu, Kompetensi dan Kesejahteraan" merupakan antara inisiatif ILIM untuk memperluas perkongsian ilmu, memperkukuh pembangunan kompetensi dan meningkatkan hubungan strategik antara institusi latihan Islam dengan masyarakat.
Program yang berlangsung sepanjang November 2026 ini menghimpunkan pelbagai pengisian merangkumi kursus, seminar, aktiviti keilmuan, pembangunan profesionalisme, khidmat komuniti serta program yang menyokong kesejahteraan masyarakat.
Melalui pendekatan yang lebih terbuka dan inklusif, ILIM berusaha memperkenalkan peranan serta kepakarannya sebagai institusi latihan utama dalam bidang pengurusan hal ehwal Islam, di samping menyediakan ruang interaksi dan perkongsian pengetahuan kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis perasmian yang dihadiri warga ILIM dan tetamu jemputan ini turut diserikan dengan kehadiran seramai 32 orang pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengikuti Program Eksplorasi Falak di ILIM. Kehadiran para pelajar ini mencerminkan hubungan kerjasama ILIM dengan institusi pengajian tinggi dalam memperluas akses kepada ilmu dan pengalaman pembelajaran.
Majlis ini turut menjadi simbolik kepada komitmen berterusan ILIM dalam memperkasa kecemerlangan organisasi, membudayakan pembelajaran sepanjang hayat serta memperkukuh jaringan kerjasama antara sektor awam dan komuniti.
Penganjuran ILIM FEST 2026 diharapkan dapat memperluas manfaat latihan dan pendidikan Islam kepada masyarakat, sekali gus memperkukuh kedudukan ILIM sebagai institusi latihan Islam yang progresif, berdaya saing dan berorientasikan kesejahteraan ummah.



