BANGI, 6 OKTOBER 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi menganjurkan Kursus Metodologi Fiqh dalam Perubatan Kontemporari yang berlangsung selama tiga hari, bermula 6 hingga 8 Oktober 2026.
Kursus di bawah Program Teras (PT) ILIM ini mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan seramai 57 orang peserta daripada pelbagai kementerian, agensi dan institusi yang berkaitan.
Antara kandungan yang diketengahkan sepanjang kursus ialah Overview Fiqh dan Perubatan, Qawaid Fiqhiyyah dalam Penentuan Hukum Perubatan, Asas Penentuan Hukum dalam Perubatan Kontemporari yang Tiada Nas, Hifz al-Nafs dalam Fiqh Perubatan, Fiqh Aulawiyat dan Aplikasi dalam Perubatan serta Fiqh Perubatan dalam Isu Bioteknologi.
Pendekatan pembelajaran turut merangkumi analisa kes berkaitan fiqh perubatan kontemporari dan perbentangan kumpulan, bagi memberi ruang kepada peserta mengaplikasikan pengetahuan dan kefahaman yang diperoleh sepanjang kursus.
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat memperkukuh kefahaman peserta terhadap metodologi fiqh dalam menangani isu-isu perubatan kontemporari, di samping meningkatkan keupayaan dalam membuat pertimbangan hukum berdasarkan prinsip dan kaedah fiqh yang bersesuaian.
Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus dapat dimanfaatkan dalam pelaksanaan tugas serta memberi nilai tambah kepada perkhidmatan dan penyampaian kefahaman Islam dalam bidang berkaitan.




