BANGI, 5 Oktober 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Kursus Keselamatan Kebakaran dan Respons Kecemasan di Tempat Kerja bertempat di ILIM Kampus Utama Bangi.
Kursus ini disertai oleh Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dan warga ILIM sebagai usaha meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta tahap kesiapsiagaan dalam menghadapi situasi kebakaran dan kecemasan di tempat kerja.
Kursus yang mendapat kerjasama Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Dengkil dan Cyberjaya ini memberi pendedahan kepada peserta berkaitan aspek keselamatan kebakaran, pengurusan kecemasan, respons kecemasan dan pertolongan cemas. Perkongsian daripada pihak bomba turut memberikan gambaran yang lebih jelas mengenai tindakan yang perlu diambil ketika berhadapan dengan situasi kecemasan.
Menariknya, peserta turut diberikan peluang mengikuti latihan kebakaran (fire drill) dan amali penggunaan alat pemadam api. Aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman, malah memberi pengalaman secara langsung kepada peserta untuk mengaplikasikan tindakan yang betul dan selamat sekiranya berlaku kebakaran.
Secara keseluruhannya, kursus ini diharap dapat memperkukuh peranan ERT ILIM sebagai pasukan yang bersedia menghadapi situasi kecemasan, di samping meningkatkan kesedaran seluruh warga ILIM terhadap kepentingan keselamatan dan tindakan respons yang pantas, tepat dan teratur




