LAHAD DATU, 24 September 2026 – Dari pesisir laut di Pangkalan Marin Lahad Datu, membawa peserta meneroka cabaran dan pengalaman baharu, sehinggalah menelusuri keindahan alam dari ketinggian Gunung Silam. Begitulah perjalanan Program Eksplorasi Al Hay’ah @ Lahad Datu yang berlangsung selama tiga hari, bermula 22 hingga 24 September 2026.
Program anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) ini menghimpunkan seramai 30 orang peserta daripada pelbagai agensi, antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu, Pegawai Kader JAKIM di Hospital Lahad Datu, Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Berbeza daripada pendekatan latihan secara konvensional, Eksplorasi Al Hay’ah membawa peserta keluar daripada ruang pembelajaran biasa untuk meneroka alam, menghayati kebesaran Ilahi dan membina kekuatan dalaman diri.
Pelaksanaan kali ini turut memperkenalkan beberapa slot baharu yang dirangka bagi memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih mencabar, interaktif dan reflektif.
Antara yang mencuri perhatian ialah Explorace Al Hay’ah, yang menggabungkan elemen eksplorasi, kerjasama berpasukan, komunikasi, kepimpinan, ketahanan fizikal serta penyelesaian tugasan. Setiap cabaran yang dilalui bukan sekadar menguji kemampuan peserta, bahkan membuka ruang untuk mereka menghubungkan pengalaman tersebut dengan nilai kehidupan dan amanah dalam perkhidmatan.
Dari satu checkpoint ke satu checkpoint, daripada satu cabaran kepada cabaran yang lain, peserta belajar bahawa perjalanan membina kekuatan diri memerlukan keberanian untuk melangkah, kebijaksanaan untuk membuat keputusan dan kekuatan untuk terus bertahan.
Kemuncak Eksplorasi Al Hay’ah @ Lahad Datu pula diteruskan dengan slot “Menelusuri Alam dengan Mata Hati” di Menara Kayangan, Gunung Silam.
Di sinilah peserta diajak untuk memperlahankan langkah, membuka ruang renungan dan melihat alam bukan sekadar dengan mata yang melihat, tetapi dengan mata hati yang menghayati.
Panorama alam yang terbentang luas menjadi ruang refleksi untuk peserta merenungi kebesaran dan kekuasaan Allah SWT. Setiap pemandangan, ketinggian dan keluasan alam menjadi peringatan bahawa manusia hanyalah sebahagian kecil daripada ciptaan-Nya, namun dikurniakan amanah yang besar untuk dilaksanakan.
Daripada laut yang luas kepada puncak yang tinggi, peserta dibawa menyedari bahawa alam adalah kitab terbuka yang mengajak manusia membaca tanda-tanda kebesaran Ilahi.
Pemilihan Pangkalan Marin Lahad Datu sebagai lokasi program turut memberikan pengalaman tersendiri apabila elemen alam dan persekitaran marin dimanfaatkan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran.
Keseluruhan pengisian program dirangka untuk menyentuh bukan sahaja aspek fizikal dan intelektual, tetapi turut membina jiwa, emosi, spiritualiti, kepimpinan dan ketahanan dalaman peserta.
Eksplorasi Al Hay’ah di Lahad Datu akhirnya bukan sekadar sebuah perjalanan dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Ia adalah sebuah perjalanan daripada mengenal alam kepada mengenal diri, dan daripada mengenal diri kepada menghayati kebesaran Ilahi.
Semoga pengalaman yang dilalui sepanjang tiga hari ini terus menjadi bekalan kepada para peserta dalam melaksanakan amanah perkhidmatan dengan lebih berintegriti, berjiwa besar dan mempunyai kekuatan dalaman yang kukuh.
Meneroka alam, menghayati kebesaran Ilahi, membina kekuatan dalaman diri.




