Bangi, Selangor – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan kursus Emotional Intelligence for Effective Leadership selama dua hari pada 9 hingga 10 September 2026 bertempat di Bilik Kuliah Muslim, ILIM Bangi.
Kursus yang melibatkan seramai 43 orang peserta daripada kalangan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional (P&P) Gred 9 dan ke atas ini bertujuan meningkatkan kefahaman serta keupayaan peserta dalam mengaplikasikan kecerdasan emosi sebagai salah satu elemen penting dalam membentuk kepimpinan yang berkesan.
Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada aspek kesedaran kendiri, pengurusan emosi, pengurusan tekanan dan konflik, komunikasi, empati serta pembinaan hubungan interpersonal. Pendekatan kursus turut mengintegrasikan nilai-nilai Islam dalam pengurusan emosi dan amalan kepimpinan.
Antara pengisian yang diketengahkan ialah “Kenali Diri, Fahami Emosi”, “Emotional Intelligence Dalam Kepimpinan”, “Mengurus Emosi Dalam Tekanan”, “Spiritual Intelligence & Emotional Intelligence”, “Aura Pemimpin: Kuasa Bicara Berhikmah” serta “Memimpin dengan Hati, Mencipta Impak”.
Menariknya, pengisian slot Spiritual Intelligence & Emotional Intelligence turut mengupas nilai kecerdasan emosi dan spiritual melalui Surah al-Fatihah, sekali gus memberi perspektif bahawa pembentukan pemimpin bukan sahaja berkaitan kemahiran mengurus emosi dan manusia, malah turut berakar pada hubungan dengan Allah SWT serta pembentukan akhlak.
Melalui kursus ini, peserta diharap dapat membawa pulang bukan sekadar pengetahuan, tetapi kesedaran dan amalan yang boleh diterjemahkan dalam pengurusan diri, interaksi di tempat kerja serta pelaksanaan tanggungjawab sebagai pemimpin.
Kursus ini merupakan salah satu usaha ILIM dalam memperkasa kompetensi kepimpinan dan pembangunan modal insan yang holistik, selaras dengan keperluan perkhidmatan awam serta penghayatan nilai-nilai Islam dalam kepimpinan.



