Bangi, Selangor – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Pemantapan Profesionalisme Tata Kelola Masjid bermula 14 hingga 16 April 2026 bagi memperkasa peranan institusi masjid sebagai pusat ibadah, pembangunan ummah dan kesejahteraan masyarakat. Program ini bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan sikap profesional dalam kalangan pengurusan masjid agar lebih berdaya saing, sistematik dan berimpak tinggi.
Kursus ini dihadiri seramai 30 peserta daripada JAIN, MAIN, YADIM, FELDA, UiTM dan Kementerian/ Jabatan. Pendekatan kursus merangkumi ceramah, refleksi diri, pemerhatian lapangan dan diskusi interaktif di antara peserta kursus dan penceramah.
Slot utama bermula dengan pengenalan konsep Fiqh Masjid dan Adab Jemaah, diikuti sikap Kepimpinan Islam dalam Tatakelola Masjid, Aplikasi Pembangunan Lestari (SDG) dalam Pengurusan Masjid, Kemahiran Perancangan Program Masjid Berimpak dan Pembinaan Budaya Kerja Positif dalam Masjid yang dikendalikan oleh barisan penceramah iaitu Dr Syazalie Hirman Ahmad Najib, Encik Muhamad Muhtazam Noor Din dan Dr Ahmad Zahiruddin Zabidi.
Program ini turut diserikan dengan lawatan ilmiah ke Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, sesi perkongsian strategik oleh pihak pengurusan masjid dan ceramah interaktif Kemahiran Komunikasi dan Pengurusan Sumber Manusia yang disampaikan oleh Nazir Masjid Al-Hasanah, Ustaz Mohd Safian Bin Abdul Rahman.
Diharapkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat diterjemahkan dalam bentuk tindakan berimpak demi memakmurkan masjid sebagai pusat pembangunan ummah dan kesejahteraan masyarakat.




