Kota Kinabalu, 14 April 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) terus memperluas jaringan strategik menerusi kunjungan hormat ke MUIS Halal Hub, Sabah sebagai usaha memperkukuh kolaborasi dalam bidang latihan serta pembangunan ekosistem halal.
Kunjungan yang berlangsung di Pejabat MUIS Halal Hub ini diketuai oleh Pengarah Kanan ILIM, Yang Berusaha Puan Nor Safina binti Zainal bersama delegasi pegawai kanan ILIM.
Delegasi ILIM telah disambut oleh Yang Berbahagia Tuan Haji Mohamad Sidik bin Haji Awang Adi, Pengerusi MUIS Halal Hub bersama barisan pegawai MUIS.
Antara objektif utama kunjungan ini adalah untuk mengadakan perbincangan strategik serta pertukaran pandangan dalam memperkasakan peranan institusi latihan Islam, khususnya dalam konteks pembangunan sumber manusia di Sabah.
Dalam sesi perbincangan tersebut, kedua-dua pihak telah memberi penekanan kepada potensi kolaborasi latihan antara ILIM dan MUIS Halal Hub, dengan fokus khusus kepada pembangunan kompetensi dalam sektor halal. Usaha ini dilihat selari dengan keperluan semasa dalam memperkukuh ekosistem halal di Sabah yang semakin berkembang dan memerlukan tenaga kerja berkemahiran serta berpengetahuan tinggi.
Selain itu, perbincangan turut merangkumi aspek perkongsian fasiliti latihan serta kepakaran tenaga pengajar antara kedua-dua institusi bagi memperluas akses latihan yang lebih berkesan dan berimpak tinggi.
Kunjungan ini turut membuka ruang kepada penerokaan program latihan bersama yang lebih bersasar, termasuk dalam aspek pensijilan halal, pematuhan standard serta pengurusan industri halal secara menyeluruh.
Kunjungan hormat ini mencerminkan komitmen ILIM dalam memperkukuh peranan sebagai peneraju latihan Islam negara serta menyokong pembangunan ekosistem halal yang mampan, khususnya di Sabah.



