WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 13 Mac 2026 — Suasana penuh barakah dan kesyukuran menyelubungi Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi apabila warga ILIM berhimpun dalam Majlis Khatam al-Quran ILIM 2026/1447 yang berlangsung pada pagi Jumaat bersamaan 23 Ramadan 1447H.
 
Majlis yang bermula seawal 8.00 pagi hingga 11.00 pagi ini menjadi simbol kesungguhan warga ILIM dalam menghidupkan bulan Ramadan dengan penghayatan al-Quran, di samping memperkukuh budaya ilmu dan amalan kerohanian dalam organisasi.
 
Sepanjang majlis, para peserta bersama-sama memperdengarkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran sehingga khatam dalam suasana yang penuh khusyuk dan harmoni. Program ini bukan sahaja mencerminkan komitmen ILIM dalam memartabatkan al-Quran sebagai panduan hidup, malah menjadi wadah menyemai kecintaan terhadap kitab suci ini dalam kalangan warga kerja.
 
Hadir sama, Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Majlis Khatam al-Quran ini juga menjadi medan mempererat ukhuwah serta menghidupkan tradisi keilmuan Islam yang sentiasa menjadi teras kepada peranan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) sebagai institusi latihan unggul dalam pembangunan kompetensi dan kepimpinan Islam.
 
Diharapkan program seumpama ini terus menjadi pemangkin kepada pembentukan warga ILIM yang seimbang dari aspek ilmu, akhlak dan spiritual, selaras dengan aspirasi melahirkan insan yang berintegriti serta berteraskan nilai-nilai al-Quran.
 
“Ramadan disemarakkan dengan al-Quran, hati disatukan dengan keberkatan.”