Bangi, 12 Mac 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) terus komited memperkasa pengisian Ramadan melalui penganjuran Webinar Ihya’ Ramadan Siri 3 bertajuk Ramadan: Pembebasan dari Api Neraka yang berjaya menarik penyertaan seramai 460 peserta terdiri daripada penjawat awam Perkhidmatan Hal Ehwal Islam serta agensi berkaitan.
Webinar yang berlangsung secara dalam talian melalui platform Google Meet ini telah disampaikan oleh Ustaz Hazmi Irsyad bin Mohamad Noor Azman yang menekankan kepentingan memanfaatkan bulan Ramadan sebagai peluang terbaik untuk meningkatkan amal ibadah, memperbanyakkan taubat serta berusaha mendapatkan keampunan Allah SWT.
Sepanjang sesi perkongsian, peserta turut didedahkan dengan peringatan berasaskan dalil al-Quran dan hadis berkaitan kepentingan menjaga diri daripada azab api neraka serta amalan-amalan yang boleh menjadi asbab kepada pembebasan daripada azab tersebut.
Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 11.00 pagi ini diharapkan dapat memberi kesedaran dan motivasi kepada peserta untuk terus memperbaiki diri serta istiqamah dalam melakukan amalan kebaikan khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Pihak ILIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penceramah dan semua peserta yang telah memberikan komitmen sepanjang program ini berlangsung.



