BANGI, 12 Mac 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Majlis Pelancaran Kamus Kompetensi dan Pelan Pembangunan Kompetensi JAKIM serta Perasmian ILIM Centre of Excellence (I.C.E.) yang berlangsung di Lobi Blok Pentadbiran, ILIM Kampus Utama Bangi, Selangor hari ini.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada jam 2.00 petang dengan kehadiran pegawai kanan JAKIM serta warga ILIM.
Hadir sama YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM serta YBrs. Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM.
Penganjuran majlis ini merupakan satu langkah strategik dalam memperkukuh pembangunan kompetensi warga JAKIM melalui pengenalan Kamus Kompetensi dan Pelan Pembangunan Kompetensi JAKIM yang dirangka secara sistematik bagi menyokong peningkatan keupayaan sumber manusia dalam perkhidmatan hal ehwal Islam.
Pada masa yang sama, majlis ini turut menyaksikan perasmian ILIM Centre of Excellence (I.C.E.) yang berperanan sebagai platform rujukan, dokumentasi serta perkongsian ilmu dalam memperkasa latihan dan pembangunan kepakaran dalam bidang berkaitan.
Majlis tersebut turut disiarkan secara langsung bagi membolehkan warga JAKIM serta orang awam mengikuti perjalanan majlis secara dalam talian.
Penganjuran program ini diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkukuh pembangunan kompetensi serta memacu kecemerlangan perkhidmatan hal ehwal Islam di Malaysia.









