WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Pada 13 Februari 2026 (Jumaat), warga Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah berhimpun di Dewan Datuk Mohd Shahir, Kampus Utama Bangi bagi menjayakan Majlis Perhimpunan Bulanan ILIM Bil. 2/2026 yang digabungkan dengan Sambutan Ambang Ramadan 1447H.
 
Majlis dimulakan dengan Bacaan Yasin dan Tahlil sebagai pengisian rohani menjelang kedatangan Ramadan. Pengisian ini menjadi asas kepada pembentukan jiwa yang lebih bersedia menghadapi cabaran semasa.
 
Perhimpunan rasmi bermula pada jam 9.30 pagi dengan Bacaan Asma’ul Husna, diikuti Nyanyian Lagu Negaraku, Lagu JAKIM serta Bacaan Ikrar sebagai simbol kesetiaan dan komitmen warga ILIM.
 
Tayangan Berita Semasa dan Montaj serta Slot Berkenalan dengan Program Teras ILIM memberi gambaran jelas tentang hala tuju dan fokus semasa institut dalam memperkukuh latihan dan pembangunan kompetensi.
 
Dalam amanatnya, Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM berkongsi hasil pembacaan dan pemerhatian beliau berkaitan empat perkara utama iaitu 𝗛𝗼𝘄 𝗣𝗲𝗼𝗽𝗹𝗲 𝗧𝗵𝗶𝗻𝗸 𝗮 𝗣𝗿𝗼𝗱𝘂𝗰𝘁 𝗶𝘀 𝗕𝗲𝘁𝘁𝗲𝗿, 𝗖𝗼𝗻𝘁𝗲𝗻𝘁 𝗜𝘀 𝗘𝘃𝗲𝗿𝘆𝘁𝗵𝗶𝗻𝗴 — 𝗪𝗮𝘁𝗰𝗵, 𝗔𝘀𝗸, 𝗧𝗵𝗶𝗻𝗸, 𝗖𝘂𝗿𝗶𝗼𝘀𝗶𝘁𝘆 + 𝗢𝗯𝘀𝗲𝗿𝘃𝗮𝘁𝗶𝗼𝗻 = 𝗕𝗲𝘁𝘁𝗲𝗿 𝗣𝗿𝗼𝗱𝘂𝗰𝘁 𝗱𝗮𝗻 𝗦𝗵𝗮𝗽𝗶𝗻𝗴 𝘁𝗵𝗲 𝗘𝘅𝗽𝗲𝗿𝗶𝗲𝗻𝗰𝗲.
 
Beliau menegaskan bahawa warga ILIM perlu memahami bagaimana masyarakat menilai sesuatu produk atau perkhidmatan. Menurut beliau, manusia membuat keputusan dengan pantas, dipengaruhi emosi sebelum logik. Sesuatu inisiatif akan diyakini sekiranya mempunyai tujuan yang jelas, memberi kesan pertama yang kukuh, disampaikan dengan yakin serta menunjukkan hasil yang nyata. Persembahan yang teratur membina kepercayaan, manakala ketidakteraturan akan melemahkan keyakinan.
 
Beliau turut menekankan bahawa kandungan merupakan teras kepada persepsi. Warga ILIM perlu sentiasa memerhati reaksi peserta, bertanya soalan yang tepat dan berfikir secara kritikal untuk tujuan penambahbaikan. Pemerhatian terhadap minat, kekeliruan dan respons peserta hendaklah dijadikan asas tindakan. Penambahbaikan perlu berpandukan maklum balas dan data, bukan andaian.
 
Dalam membina produk dan program yang lebih berkesan, beliau menyeru agar elemen rasa ingin tahu dipupuk dalam setiap inisiatif. Tanpa rasa ingin tahu, perhatian tidak akan terarah. Pendekatan yang berani, sudut pandang yang segar serta penyampaian yang mencetus persoalan mampu menarik minat dan membuka ruang kepada penambahbaikan berterusan.
 
Beliau juga mengingatkan bahawa sesuatu program bukan sekadar aktiviti, tetapi satu pengalaman menyeluruh. Dari saat pertama peserta hadir sehingga ke ingatan yang dibawa pulang, setiap sentuhan membentuk persepsi terhadap ILIM. Pengalaman perlu dirancang dengan teliti agar mesej yang disampaikan selari dengan imej dan aspirasi institusi.
 
Majlis turut diserikan dengan tayangan video “Ramadan Datang Lagi: Bulan Penuh Keberkatan” serta Majlis Penyerahan Sumbangan Kurma sebagai simbol kebersamaan dan keprihatinan. Program diakhiri dengan jamuan makan sebelum majlis bersurai dalam suasana penuh muafakat serta tekad baharu untuk menyambut Ramadan 1447H dengan semangat perubahan dan peningkatan diri.