WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
ILIM Bangi - 12 Februari 2026. Kursus Pemahaman Enakmen Tatacara Jenayah Syariah yang dilaksanakan bermula pada 10 hingga 12 Februari 2026 telah melabuhkan tirainya. Seramai 41 orang peserta telah menghadiri kursus tersebut dengan jayanya.
 
Penceramah yang berpengalaman luas dalam bidang perundangan yang telah berkongsi kepakaran dengan peserta adalah YM Tuan Raja Mazelan bin Raja Deraman dari Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Putrajaya dan Tuan Shafezan bin Rusli dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pulau Pinang. Matlamat utama kursus ini dianjurkan adalah bagi meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan kemahiran dalam mentafsir, mentadbir dan melaksanakan Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah di Malaysia. Para peserta adalah dari kalangan Pegawai Penguatkuasa Agama Negeri di Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Agama Islam Negeri, Pegawai Syariah dari Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri.
 
Kandungan kursus merangkumi sesi ceramah, perbincangan kumpulan dan latihan praktikal berbentuk simulasi kes sebenar. Sesi latihan dalam kumpulan membolehkan peserta berinteraksi dan bertukar-tukar pandangan. Kursus ini telah mendapat komitmen dan sambutan yang sangat baik daripada semua peserta yang hadir.
 
ILIM meletakkan harapan agar kursus ini dapat memberi manfaat kepada Pegawai Penguatkuasa Agama dan Pendakwa di negeri-negeri, bukan sahaja dapat meningkatkan kefahaman mereka terhadap sistem kehakiman syariah di Malaysia khususnya Undang-undang Tatacara Jenayah Syariah, bahkan dapat menganalisa dan menggunapakai peruntukan enakmen yang ada dengan baik semasa menjalankan tugasan di lapangan agar lebih efisien dan cemerlang.