WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Besut, 4 Februari 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Besut dengan kerjasama Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama, Bangi telah menganjurkan Kursus Asas Falak Syariah dan Eksplorasi Al-Hay’ah yang berlangsung dari 2 hingga 4 Februari 2026. Kursus ini telah disertai seramai 42 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai agensi strategik antaranya Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), RELA, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), KEMAS, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Majlis Daerah Besut, JAWHAR, Jabatan Perikanan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Veterinar, Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia.
 
Kursus ini dirangka bertujuan memberi pendedahan asas berkaitan ilmu falak syarie dan kosmologi Islam, di samping memperkukuh kefahaman peserta terhadap hubungan ilmu al-Hay’ah dengan fenomena alam serta pengaplikasiannya dalam kehidupan seharian berteraskan pendekatan al-Quran dan tauhidik.
 
Kursus ini telah disampaikan oleh penceramah berpengalaman iaitu Encik Ahmad Taufan bin Abdul Rashid daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Ustaz Muhammad Shahrin bin Ahmad Razli daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), serta dibantu oleh barisan fasilitator ILIM yang komited dalam memastikan kelancaran pelaksanaan kursus. Pengisian kursus bukan sahaja memberi nilai tambah dari sudut penguasaan ilmu falak syarie, malah turut menyemai kesedaran tentang kebesaran Allah SWT melalui penghayatan terhadap tanda-tanda kekuasaan-Nya di langit dan di bumi.
 
ILIM berharap penganjuran kursus ini dapat memperluaskan kefahaman ilmu falak syarie dalam kalangan penjawat awam dan agensi berkaitan, seterusnya melahirkan individu yang berilmu, berkemahiran serta mampu menghayati kebesaran Allah SWT melalui tadabbur alam demi manfaat agama, bangsa dan negara.
 
Pada hari ketiga kursus ini, telah berlangsung Majlis Perasmian Track Jogging di Tasik Al-Kauthar, ILIM Kampus Besut yang disempurnakan oleh Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM, JAKIM. Perasmian ini melambangkan komitmen pihak pengurusan ILIM dalam memperkasa budaya hidup sihat serta menyediakan persekitaran kampus yang kondusif dan seimbang demi kesejahteraan warga dengan slogan Bes- i - Fit.
 
Di penghujung kursus, Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan dengan ucapan perasmian oleh Puan Nor Safina binti Zainal yang menekankan kepentingan penguasaan ilmu falak syarie sebagai salah satu cabang ilmu yang menyokong kefahaman syariat Islam, khususnya dalam aspek ibadah dan penentuan waktu-waktu penting umat Islam. Penganjuran kursus ini dilihat berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh pengetahuan dan kemahiran peserta berkaitan asas falak syarie serta aplikasi praktikal eksplorasi al-Hay’ah.