Bangi, 30 Januari 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) baru sahaja melabuhkan tirai Kursus Train The Islamic Trainer (I-TAQWA) Siri Ke-2, yang berlangsung dari 26 Januari hingga 30 Januari 2026 di ILIM Kampus Utama Bangi, dengan penyertaan peserta dalam kalangan perunding latihan ILIM dari kampus utama dan cawangan.
Kursus ini dirangka bagi memperkasa perunding latihan ILIM dalam membentuk jiwa kepimpinan murabbi dan mengintegrasi nilai holistik berteraskan Quranik dan Tauhidik dalam latihan dan kehidupan seharian.
Sepanjang kursus ini, para peserta telah melalui pelbagai sesi bermakna yang bukan sahaja membina kemahiran profesional perunding latihan dalam pembangunan dan reka bentuk modul latihan, tetapi juga memperkukuh penguasaan teknik pengajaran dan pembelajaran. Lebih utama lagi, kursus ini menekankan aspek pembangunan diri, kepimpinan, akhlak, komunikasi, serta penghayatan nilai-nilai Islam secara menyeluruh.
Kursus ini dimulakan dengan ucapan suntikan semangat daripada YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM yang memberi dorongan dan inspirasi kepada para peserta untuk terus cemerlang dalam membina diri sebagai perunding latihan Islam. Turut hadir bersama adalah Puan Shukreyah binti Zawawi, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam.
Kursus ini bukan sekadar pemindahan ilmu, tetapi merupakan satu proses pembentukan jiwa untuk melahirkan perunding latihan yang cekap, berstrategi, berintegriti, beradab dan menjadi qudwah hasanah kepada masyarakat.
ILIM berharap ilmu dan pengalaman yang diperoleh akan menjadi inspirasi untuk memperkukuh kualiti latihan Islam dan memberi impak positif kepada ummah.





