Bangi, 29 Januari 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) telah menganjurkan Kursus Penulisan Dokumen Rasmi Kerajaan: Kertas Kerja yang berlangsung selama dua hari bermula 28 hingga 29 Januari 2026.
Kursus ini dianjurkan bagi membantu peserta meningkatkan kefahaman dan kemahiran dalam penyediaan dokumen rasmi kerajaan khususnya dari aspek penggunaan bahasa, struktur ayat, format penulisan serta penyediaan kertas kerja dan laporan yang lebih kemas dan profesional.
Sepanjang kursus peserta didedahkan dengan pelbagai topik menarik merangkumi dasar bahasa kebangsaan, tatabahasa, format kertas cadangan, laras bahasa dokumen rasmi serta teknik penyediaan laporan. Aktiviti latihan dalam kumpulan (LDK) turut memberi ruang kepada peserta untuk berbincang dan praktikal penulisan menjadikan suasana pembelajaran lebih hidup dan interaktif.
Secara keseluruhannya kursus ini mendapat sambutan yang sangat baik dan memberi manfaat besar kepada peserta. Penganjuran program sebegini dilihat mampu membantu meningkatkan kualiti penyediaan dokumen rasmi di tempat kerja serta membina keyakinan peserta dalam penulisan dokumen rasmi kerajaan.



