WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, Selangor – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Kursus Syifa’ Ilmi selama 27 hingga 29 Januari 2026 sebagai inisiatif memperkukuh kefahaman dan amalan rawatan Islam yang berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah dalam kalangan penjawat awam serta pengamal bidang berkaitan.
 
Kursus ini dihadiri seramai 36 peserta, termasuk wakil daripada KAGAT, JAIN, MAIN, kementerian, dan agensi lain. Kursus bertujuan meningkatkan pengetahuan mengenai konsep dan amalan ruqyah syar‘iyyah menurut al-Quran dan as-Sunnah, di samping membentuk sikap berakidah sahih, beretika serta bertanggungjawab dalam pelaksanaan rawatan, serta meningkatkan kemahiran asas rawatan awal ruqyah syar‘iyyah untuk aplikasi harian dan tugasan rasmi.
Pendekatan kursus dirangka secara seimbang antara teori dan praktikal bagi memastikan pemahaman yang menyeluruh serta aplikasi ilmu secara tepat dan berkesan.
 
Slot di ILIM dikendalikan oleh Ustaz Muhd Redza bin Ahmad, dengan fokus kepada metodologi ruqyah syar‘iyyah, manakala slot lawatan sambil belajar di Darussyifa’ Bangi dikendalikan oleh Dr. Shaharuddin bin Saad, merangkumi taklimat, penurunan ayat ruqyah asas 1, 2 dan 3, serta kaedah rawatan ruqyah.
 
Penganjuran Kursus Syifa’ Ilmi ini diharapkan dapat membekalkan peserta dengan ilmu, kemahiran dan pemahaman ruqyah syar‘iyyah yang berintegriti, sekali gus menjadi rujukan serta agen penyebar kefahaman rawatan Islam yang sahih, seimbang dan diyakini oleh masyarakat.