Lawas, Sarawak | 28 Januari 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Sesi Libat Urus Pengarah Kanan ILIM bersama Warga ILIM Kampus Lawas sebagai platform memperkukuh komunikasi dua hala serta mempererat hubungan antara pihak pengurusan tertinggi dan warga institusi.
Program ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Turut hadir ialah Encik Mohd Roska bin Mohamed Rasidek, Ketua Penolong Pengarah serta Cik Suhairina Sudirman, Timbalan Pendaftar ILIM. Sesi libat urus ini bertujuan menyampaikan hala tuju strategik ILIM, berkongsi perkembangan semasa organisasi serta mendengar secara langsung pandangan, cadangan dan keperluan warga ILIM Kampus Lawas.
Sesi dialog terbuka yang diadakan turut memberi ruang kepada warga Kampus Lawas untuk mengemukakan isu, pandangan serta cadangan penambahbaikan berkaitan pengurusan, kebajikan dan pelaksanaan program latihan. Segala maklum balas yang diterima akan dijadikan input penting dalam usaha berterusan memperkasa pengurusan dan perancangan strategik ILIM.
Selain itu, lawatan kerja turut diadakan bagi meninjau pelaksanaan Projek Pembangunan ILIM Kampus Lawas, Sarawak, yang sedang giat dilaksanakan. Projek pembangunan ini merangkumi penyediaan fasiliti moden seperti auditorium, blok asrama, dewan makan, gelanggang sukan, kuarters dan surau yang bertujuan meningkatkan keupayaan latihan dan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat wilayah dan nasional.
Secara keseluruhannya, penganjuran sesi libat urus dan lawatan kerja ini mencerminkan komitmen kepimpinan ILIM dalam memastikan pengurusan yang inklusif, berfokus kepada kesejahteraan warga serta memperkukuh peranan ILIM sebagai pusat latihan Islam yang unggul dan berdaya maju.



