WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :

Jelebu, 19 Januari 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Majlis Perjumpaan dan Amanat Pengarah Kanan ILIM Bersama Warga ILIM Kampus Jelebu pada Isnin, 19 Januari 2026 bertempat di ILIM Kampus Jelebu, Negeri Sembilan.

Majlis ini telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM sebagai wadah pengukuhan hubungan kepimpinan bersama warga institusi di samping penyampaian amanat serta hala tuju strategik ILIM bagi tahun 2026.

Dalam amanatnya, beliau menekankan kepentingan pembangunan diri, pembinaan sahsiah dan pengukuhan nilai profesionalisme sebagai teras utama kecemerlangan organisasi. Beliau mengajak warga ILIM agar memberi tumpuan kepada pembinaan kualiti dalaman, selaras dengan ungkapan inspirasi:

"If you spend your time chasing butterflies, they will fly away. But if you spend your time building a beautiful garden, the butterflies will come to you.Focus on improving yourself. Don't chase..build your own attraction".

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa kecemerlangan tidak dicapai melalui keinginan semata-mata, sebaliknya melalui proses penambahbaikan diri yang berterusan.

Amanat yang disampaikan turut mencerminkan falsafah kehidupan yang diketengahkan dalam buku Greenlights iaitu setiap cabaran, kekangan dan ujian yang dihadapi perlu dilihat sebagai peluang untuk terus bergerak ke hadapan. Setiap halangan bukanlah noktah kegagalan, sebaliknya berperanan sebagai “lampu hijau” yang membentuk kematangan, kebijaksanaan dan kekuatan diri dalam jangka panjang.

Sehubungan itu, warga ILIM diseru agar sentiasa bersikap positif, berdaya tahan serta bersedia memanfaatkan setiap pengalaman sebagai pemangkin kemajuan institusi, sejajar dengan aspirasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan peranan ILIM sebagai pusat latihan Islam yang berwibawa.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian Sijil Apresiasi 2025 kepada warga ILIM Kampus Jelebu sebagai tanda penghargaan atas komitmen, dedikasi dan sumbangan berterusan dalam menjayakan agenda latihan serta pembangunan institusi sepanjang tahun 2025.

Selain itu, majlis ini turut merangkumi Pembentangan Manual Pengurusan Latihan Islam (MPLI) yang telah disampaikan oleh Puan Norhayati Jaffri, Ketua Penolong Pengarah Kanan, bertujuan memberikan pendedahan dan kefahaman kepada warga ILIM berhubung garis panduan, tatacara serta standard pengurusan latihan Islam yang menjadi rujukan utama dalam pelaksanaan program latihan di ILIM. Pembentangan ini diharapkan dapat memperkukuh keseragaman, pematuhan serta meningkatkan kualiti pengurusan latihan di seluruh kampus ILIM.

Turut diadakan ialah Perasmian Blok Asrama Saidina Ali yang baharu siap dibina sebagai simbol komitmen berterusan ILIM dalam menyediakan kemudahan penginapan yang kondusif dan selesa bagi menyokong pelaksanaan program latihan. Lawatan di sekitar Rumah Rehat ILIM Kampus Jelebu diadakan bagi meninjau kemudahan sedia ada serta mengenal pasti potensi penambahbaikan ke arah penyediaan fasiliti sokongan yang lebih berkualiti.

Majlis ini turut menjadi platform interaksi dua hala antara pengurusan tertinggi dan warga kampus, sekaligus memperkukuh semangat kebersamaan kerjasama berpasukan serta komitmen kolektif dalam menjayakan agenda latihan dan pembangunan modal insan.