Bangi, 14 Januari 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menerima Kunjungan Hormat dan Perbincangan Kerjasama Strategik bersama Bahagian Penyiaran, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membincangkan potensi kerjasama berkaitan pelaksanaan Bengkel Prompting Kecerdasan Buatan (AI). Sesi perbincangan tersebut telah diadakan pada 14 Januari 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat Uthman, Aras 2, ILIM Kampus Utama Bangi, Selangor.
Perbincangan telah dipengerusikan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM, dengan memberi tumpuan kepada penerokaan peluang kerjasama strategik antara ILIM dan Bahagian Penyiaran JAKIM dalam usaha memperkasa keupayaan pegawai melalui pendedahan serta penguasaan kemahiran prompting kecerdasan buatan (AI) secara beretika, sistematik dan berkesan, khususnya dalam bidang penyiaran serta komunikasi dakwah digital.
Delegasi Bahagian Penyiaran JAKIM telah diketuai oleh YBrs. Encik Wan Azhan bin Wan Hamat, Pengarah Bahagian Penyiaran. Perbincangan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program latihan berimpak tinggi yang sejajar dengan keperluan semasa pendigitalan penyiaran Islam di samping menyokong aspirasi transformasi digital Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM).


