BESUT, 12 Januari 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Besut telah menganjurkan Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Bersama Pengarah Kanan ILIM yang menghimpunkan seluruh warga kerja kampus berkenaan dalam satu sesi perkongsian hala tuju, aspirasi dan iltizam organisasi bagi tahun baharu.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Dalam amanat beliau, YBrs. Puan Nor Safina menekankan kepentingan memperkukuh budaya kerja berintegriti, profesional dan berfokuskan nilai Islam selaras dengan peranan ILIM sebagai pusat latihan hal ehwal Islam yang berwibawa.
Beliau turut menyeru seluruh warga ILIM Kampus Besut agar terus meningkatkan komitmen, kerjasama berpasukan serta kesiapsiagaan dalam mendepani cabaran semasa, di samping memperkasa kualiti penyampaian latihan dan perkhidmatan kepada masyarakat.
Majlis Amanat Tahun Baharu ini menjadi platform penting untuk menyatukan visi dan hala tuju warga ILIM dalam mendukung agenda kecemerlangan organisasi serta memperkukuh peranan ILIM sebagai peneraju latihan Islamik berteraskan nilai Madani.



