BANGI, 9 Januari 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi 2025 & Aspirasi 2026 bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia, hari ini.
Majlis yang menghimpunkan warga kerja ILIM ini telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia, sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen, dedikasi dan sumbangan warga institusi sepanjang tahun 2025 di samping menggariskan hala tuju strategik ILIM bagi tahun 2026.
Dalam ucapannya, Puan Nor Safina menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga ILIM atas usaha berterusan dalam menjayakan pelbagai program latihan, inisiatif pembangunan modal insan serta agenda pengukuhan perkhidmatan hal ehwal Islam. Beliau turut menekankan kepentingan budaya kerja berpasukan, integriti dan profesionalisme dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Majlis turut diserikan dengan tayangan montaj pergerakan pegawai dan pencapaian institusi, yang memaparkan pelaksanaan program, penglibatan strategik serta kejayaan ILIM sepanjang tahun 2025. Paparan tersebut menjadi cerminan usaha kolektif warga ILIM dalam menyokong aspirasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Sebagai tanda penghargaan, Penyampaian Sijil Apresiasi ILIM 2025 telah diadakan bagi mengiktiraf sumbangan dan komitmen warga kerja dari pelbagai cawangan dan program. Majlis ini turut menyaksikan penganjuran Majlis Jasamu Dikenang buat pegawai-pegawai ILIM yang telah bertukar, sebagai penghormatan atas jasa dan khidmat bakti yang telah dicurahkan.
Majlis Apresiasi 2025 & Aspirasi 2026 ini diharapkan dapat menjadi pemangkin semangat dan iltizam baharu kepada seluruh warga ILIM untuk terus melangkah ke hadapan secara progresif, selari dengan aspirasi institusi dan hala tuju strategik JAKIM.







