BANGI, 7 Januari 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah mengadakan Sesi Perjumpaan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional Bersama Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina Zainal, bertempat di Bilik Mesyuarat Abu Bakar, ILIM Kampus Utama Bangi.
Sesi perjumpaan ini diadakan sebagai platform komunikasi dua hala antara Pengurusan Tertinggi ILIM dan Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional bagi memperkukuh kefahaman terhadap hala tuju organisasi, mempertingkatkan penyelarasan tugas serta memperkukuh semangat kerjasama dalam kalangan warga ILIM.
Dalam sesi tersebut, Puan Nor Safina Zainal menekankan kepentingan tadbir urus yang berkesan, profesionalisme penjawat awam serta komitmen bersama dalam menyokong agenda pembangunan dan transformasi ILIM selaras dengan aspirasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Beliau turut menggalakkan warga pengurusan dan profesional agar terus proaktif, inovatif serta berintegriti dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab masing-masing.
Sesi ini turut membuka ruang perbincangan, pertukaran pandangan dan maklum balas daripada para pegawai berkaitan cabaran semasa serta cadangan penambahbaikan ke arah meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan ILIM secara holistik.
Perjumpaan ini diharapkan dapat memperkukuh kesepaduan pasukan pengurusan dan profesional ILIM serta menjadi pemangkin kepada pencapaian prestasi organisasi yang lebih cemerlang dan mampan.

