Bangi, 6 Januari 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menerima Lawatan Sambil Belajar daripada Rombongan Jawatankuasa Pembinaan Baharu Sekolah Agama Negeri APAS, Balung, Tawau, Sabah yang diketuai oleh YBhg. Datuk Lo Su Fui, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) merangkap Ahli Parlimen Tawau, Sabah.
Ketibaan delegasi telah disambut oleh YBrs. Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) bersama barisan pengurusan ILIM. Lawatan ini bertujuan untuk mendapatkan pendedahan serta perkongsian pengalaman berkaitan perancangan, pembangunan dan pengurusan fasiliti latihan serta pendidikan Islam.
Sepanjang lawatan, delegasi telah diberi taklimat mengenai peranan dan fungsi ILIM sebagai pusat latihan Islam di peringkat nasional, di samping perkongsian amalan terbaik dalam pengurusan institusi latihan, kemudahan fizikal serta sokongan teknologi dalam pelaksanaan program latihan.
Lawatan ini turut menjadi platform perbincangan dua hala bagi bertukar pandangan dan idea berkaitan pembangunan prasarana pendidikan Islam yang berkesan dan berdaya saing, selaras dengan keperluan semasa dan aspirasi pembangunan ummah.
Selain itu, delegasi turut dibawa melawat Galeri Syeikh Abdul Aziz An-Nayyiri, Falak Competency Training Center (FALCOM) serta Replika Jam Matahari (Mizwalah) yang menjadi antara tarikan pendidikan di ILIM khususnya dalam memperkenalkan aplikasi ilmu falak dan pendekatan pembelajaran secara praktikal dan interaktif.
Pihak ILIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kunjungan delegasi Jawatankuasa Pembinaan Baharu Sekolah Agama Negeri APAS, Balung, Tawau, Sabah dan berharap hubungan kerjasama serta jaringan strategik ini dapat diteruskan pada masa hadapan.





