BANGI, 5 Januari 2026 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menganjurkan Sesi Perjumpaan Kumpulan Pelaksana Bersama Pengarah Kanan ILIM pada jam 9.30 pagi bertempat di Bilik Mesyuarat Abu Bakar, Aras 1, Blok Akademik A.
Sesi ini diadakan sebagai platform komunikasi dua hala antara pihak pengurusan tertinggi ILIM dan warga Kumpulan Pelaksana bagi mendengar pandangan, maklum balas serta cadangan berkaitan pelaksanaan tugas dan operasi harian institut.
Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM merakamkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen berterusan Kumpulan Pelaksana yang menjadi tulang belakang kepada kelancaran pengurusan pentadbiran dan pelaksanaan program latihan di ILIM. Dalam sesi ini, beliau turut menekankan kepentingan integriti, profesionalisme, kerja berpasukan dan komunikasi berkesan dalam memperkukuh budaya kerja organisasi.
Selain itu, sesi perjumpaan ini turut memberi ruang kepada warga Kumpulan Pelaksana untuk menyuarakan isu dan cabaran secara terbuka dan berhemah bagi membantu pihak pengurusan merangka langkah penambahbaikan yang lebih berfokus dan berkesan.
Penganjuran sesi ini diharap dapat memperkukuh hubungan kerja, meningkatkan motivasi warga pelaksana serta menyokong usaha berterusan ILIM dalam mencapai kecemerlangan organisasi selaras dengan aspirasi institusi.





