WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
BANGI, 19 Disember 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) hari ini telah mengadakan Mesyuarat Penutup (Exit Meeting) Kajian Audit Terhadap Pengurusan ILIM bertempat di Bilik Syura Uthman bin Affan, Blok Pentadbiran, ILIM Kampus Utama Bangi.
 
Mesyuarat yang bermula pada jam 9.30 pagi ini telah dipengerusikan oleh Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM, dan turut disertai oleh wakil-wakil Bahagian Audit Dalam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang diketuai oleh Encik Nurul Al Bakri bin Mohamad, Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Audit Dalam. Mesyuarat ini juga diadakan secara dalam talian dengan penyertaan wakil-wakil daripada Kampus Cawangan ILIM.
 
Mesyuarat penutup ini diadakan bagi membentangkan dapatan akhir kajian audit terhadap pengurusan ILIM, yang merangkumi aspek tadbir urus, pematuhan kepada peraturan serta prosedur kewangan dan pengurusan, di samping cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengurusan organisasi.
 
Dalam ucapannya, Pengarah Kanan ILIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak Audit JPM atas pelaksanaan kajian audit yang menyeluruh, berfokus dan profesional. Beliau turut menegaskan komitmen ILIM untuk meneliti serta mengambil tindakan susulan yang sewajarnya terhadap semua syor audit yang dikemukakan demi memperkukuh tadbir urus, akauntabiliti dan integriti organisasi.
 
Pelaksanaan Mesyuarat Penutup Kajian Audit ini mencerminkan kesungguhan ILIM dalam menyokong amalan penambahbaikan berterusan, selaras dengan prinsip tadbir urus yang baik dalam perkhidmatan awam.