WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 18 Disember 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah menganjurkan Sesi Penilaian Simulasi Pengajaran dan Pembelajaran Perunding Latihan ILIM sebagai platform menilai keupayaan dan kompetensi peserta dalam aspek latihan dan penyampaian. Sesi ini juga menyokong hasrat ILIM menjadi Center of Excellence (CoE) dalam pembangunan profesional tenaga pengajar.
 
Sesi penilaian ini bertujuan menilai kemahiran praktikal, penguasaan modul, teknik penyampaian serta keupayaan interaksi peserta dalam suasana simulasi latihan sebenar, selaras dengan keperluan pembangunan profesional tenaga pengajar dan perunding latihan. Selain itu, ia merupakan sebahagian daripada persediaan calon Perunding Latihan ILIM (PLI) untuk penilaian sebenar oleh panel yang akan dilantik.
 
Program yang berlangsung di Bilik Kuliah Ibnu Khaldun, ILIM Bangi ini melibatkan penyertaan peserta yang terdiri daripada calon PLI dan dinilai oleh Pengarah Kanan serta barisan Ketua Penolong Pengarah ILIM. Sepanjang sesi berlangsung, peserta diberi kebebasan memilih topik simulasi sama ada daripada sembilan (9) bidang teras latihan ILIM atau topik bidang generik yang bersesuaian, serta dibenarkan menggunakan alat bantu mengajar bagi menyokong penyampaian latihan masing-masing.
 
Melalui sesi ini, peserta dinilai secara menyeluruh merangkumi aspek perancangan latihan, penguasaan kandungan, kaedah penyampaian, pengurusan masa serta keberkesanan interaksi dengan peserta latihan. Penganjuran sesi ini mencerminkan komitmen ILIM dalam memastikan kualiti dan standard perunding latihan sentiasa berada pada tahap terbaik, sejajar dengan keperluan semasa latihan sektor awam dan pembangunan modal insan negara.
Diharapkan melalui pelaksanaan sesi penilaian ini, ILIM dapat melahirkan barisan Perunding Latihan yang kompeten, profesional, dan berintegriti, seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan penyampaian latihan Islamik yang berimpak tinggi.