BANGI, 25 November 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) hari ini mengadakan Majlis Perhimpunan Bulanan ILIM Bil. 5/2025 bertempat di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM Kampus Utama Bangi, dengan kehadiran seluruh warga ILIM.
Majlis pada kali ini turut diserikan dengan Sesi Penggambaran Warga ILIM dengan semua pegawai hadir dengan pakaian Batik atau Songket ILIM menampilkan identiti korporat dan citra profesional organisasi.
Dalam amanat Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina Zainal menekankan pentingnya ketahanan dalaman (inner strength) sebagai asas kepimpinan dan prestasi warga kerja. Beliau mengingatkan bahawa seseorang tidak ‘tumbang’ kerana banyak tugas, tetapi kerana akar dalam diri tidak kuat, merujuk kepada renungan yang dikongsikan dalam pembentangan pagi ini.
Amanat tersebut turut menggariskan beberapa elemen utama yang perlu ditanam dalam diri setiap warga ILIM, termasuk :
- Menghargai perkara kecil dalam perjalanan kerja,
- Belajar berlembut dengan diri sendiri dan memberi ruang untuk penambahbaikan,
- Membangun budaya hubungan kerja yang sihat, saling menyokong dan menghargai,
- Mengamalkan mindfulness dalam menyelesaikan konflik dan komunikasi,
- Mewujudkan pasukan yang saling menguatkan antara satu sama lain.
Semua inti pati ini adalah antara mesej penting bagi melahirkan warga ILIM yang resilient, matang dan berjiwa besar.
Pengarah Kanan turut merakamkan ucapan tahniah kepada warga ILIM atas pencapaian tahun 2025 dalam pelbagai bidang termasuk Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Modul Latihan, Pembangunan Kepakaran serta Inovasi dan Kualiti Latihan.
Penghargaan ini mencerminkan komitmen berterusan ILIM dalam meningkatkan profesionalisme dan kualiti penyampaian latihan di peringkat kebangsaan.
Majlis turut menyampaikan beberapa penghargaan termasuk Hadiah Semarak Merdeka 2025, Penyerahan T-Shirt ILIM, serta segmen “Majlis Jasamu Dikenang” sebagai simbol penghargaan terhadap komitmen dan sumbangan warga ILIM.
Majlis diakhiri dengan harapan supaya seluruh warga ILIM terus berusaha mengekalkan momentum pencapaian tahun 2025 serta memperkukuh budaya kerja positif, berintegriti dan berdaya tahan.
ILIM terus komited menjadi institusi latihan Islam terulung yang bukan sahaja membangunkan kompetensi, tetapi juga membina kekuatan diri dan sahsiah unggul dalam kalangan penjawat awam Hal Ehwal Islam.




