WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
KUCHING, 19 November 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Program Strategik ILIM: Menyusun Naratif Baharu selama tiga hari bermula 17 hingga 19 November 2025 di Kuching, Sarawak. Program ini menghimpunkan kepimpinan ILIM, pegawai kanan serta pegawai-pegawai dari Kampus Cawangan ILIM bagi merangka hala tuju strategik baharu dalam pembangunan kompetensi Hal Ehwal Islam.
Penganjuran program ini bertujuan memperkukuh naratif latihan ILIM agar lebih relevan, progresif dan selaras dengan tuntutan semasa, termasuk keperluan transformasi digital, peningkatan kualiti penyampaian dan penyusunan modul berimpak tinggi.
Sepanjang tiga hari, peserta mengikuti siri pembentangan, bengkel strategi, sesi percambahan minda dan rumusan hala tuju. Antara fokus utama termasuk penambahbaikan modul teras, penstrukturan semula proses latihan, peningkatan penggunaan teknologi pembelajaran serta penyediaan strategi pembangunan kompetensi yang lebih responsif kepada cabaran masyarakat.
Program ini turut merumuskan kerangka baharu naratif latihan ILIM yang akan dijadikan asas kepada penyelarasan program-program latihan.
ILIM komited meneruskan peranan sebagai institusi latihan rujukan nasional dalam bidang Hal Ehwal Islam, seiring aspirasi Malaysia MADANI dan agenda transformasi sektor perkhidmatan agama negara.