Bangi, 13 November 2025 – Satu sesi Sharing Session Pengarah Kanan ILIM Bersama peserta Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam (PEPHEI) Siri 4/2025 yang bertajuk “Organized Mind” telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Datuk Mohd Shahir, Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi, hari ini.
Program ini disampaikan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM yang telah sudi berkongsi idea, aspirasi, inspirasi serta pengalaman dalam mengurus dan menyusun minda secara sistematik bagi meningkatkan keupayaan kepimpinan diri (self leadership). Program ini turut dihadiri oleh para pegawai kanan ILIM serta seramai 95 orang peserta yang sedang mengikuti Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) Gred S5 dan S1 Lantikan Baharu JAKIM mulai 13 Oktober 2025 hingga 14 November 2025.
Dalam sesi yang santai namun penuh makna ini, beliau menekankan kepentingan memiliki minda yang teratur dalam menghadapi tuntutan kerja, kehidupan peribadi, serta tanggungjawab terhadap organisasi dan masyarakat. “Minda yang teratur membentuk tindakan yang berstrategi – dan tindakan yang berstrategi menghasilkan keberkesanan dalam kepimpinan,” ujar beliau sambil mengajak peserta untuk menilai semula cara mereka mengurus masa, emosi dan matlamat hidup. Visual persembahan bertema otak manusia dengan dua sisi – teratur dan berserabut – memberi simbolik mendalam terhadap konsep keseimbangan antara rasional dan kreativiti dalam kepimpinan diri.
Sesi perkongsian ini diakhiri dengan pesanan bahawa setiap pemimpin perlu bermula dengan pengurusan diri sebelum mampu mengurus organisasi dengan berkesan – selaras dengan semangat Self Leadership yang menjadi teras pembangunan modal insan sebagai PHEI yang berkualiti.



