WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
BANGI, 12 November 2025 – Satu sesi perkongsian ilmu bertajuk Leadership Talk Bersama Timbalan Ketua Pengarah Operasi (TKPO) JAKIM sempena Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam (PEPHEI) Siri 4/2025 telah berlangsung dengan jayanya di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, hari ini.
YBhg. Brigedier Jeneral Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail , Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM sebagai panel telah sudi berkongsi aspirasi, idea serta pengalaman berkenaan fungsi, tanggungjawab serta cabaran Perkhidmatan Hal Ehwal Islam kepada 95 orang peserta yang sedang mengikuti Program PEPHEI yang terdiri daripada Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) Gred S5 dan S1 Lantikan Baharu JAKIM mulai 13 Oktober 2025 hingga 14 November 2025.
Objektif utama perkongsian ilmu ini adalah untuk memberi inspirasi dan motivasi kepada semua pegawai lantikan baharu bagi meningkatkan profesion dan personaliti serta mutu penyampaian perkhidmatan PHEI supaya sentiasa pantas, tangkas, dinamik serta selari dengan dasar kerajaan dan pihak yang berkepentingan (stakeholders).
Dalam sesi perkongsian ini, YBhg. TKPO JAKIM menegaskan bahawa berada di agensi khususnya dalam skim perkhidmatan Hal Ehwal Islam Islam merupakan suatu kemuliaan dan kelebihan sebagai pejuang agama. Justeru, beliau menggesa para pegawai lantikan baharu untuk mengambil peluang ini dengan sebaik-baiknya untuk membuat penambahbaikan kepada sistem pentadbiran Islam dengan menjadi pengikut yang baik serta mengemukakan idea-idea yang lebih kritis dan kreatif "challenge the process" bagi melonjakkan kredibiliti JAKIM.
Semoga sesi ini dapat mengembangkan pengetahuan dan kefahaman para pegawai lantikan baharu JAKIM berkaitan tugas dan tanggungjawab masing-masing dalam usaha memartabatkan kesyumulan Islam demi pembangunan dan kemaslahatan ummah.