WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 11 November 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Kampus Utama Bangi telah menganjurkan Seminar Psikologi Kepimpinan Madani 2025 dengan tema “Kepimpinan Berjiwa Ihsan Mengemudi Era Digital”.
Seminar ini bertujuan memperkukuh kefahaman peserta mengenai konsep kepimpinan berteraskan nilai ihsan serta mengupas cabaran psikologi dan etika pemimpin dalam mendepani dunia digital yang semakin mencabar.
Program yang berlangsung di Dewan Datuk Mohd Shahir (DDMS), ILIM Bangi ini disertai oleh peserta daripada pelbagai agensi termasuk PHEI JAKIM, Kader JAKIM, Pegawai Agensi di bawah YB Menteri di JPM, MAIN/JAIN, KAGAT serta penjawat awam dari pelbagai jabatan.
Tiga (3) orang penceramah berpengalaman telah diundang bagi mengupas topik kepimpinan berjiwa ihsan dalam konteks digital, iaitu:
YBhg. Prof. Dato’ Dr. Zulkiple bin Abd. Ghani (USIM) dengan tajuk “Kepimpinan Berjiwa Ihsan Mengemudi Era Digital”,
YBrs. Dr. Alizi bin Alias, Konsultan Psikologi Organisasi, dengan tajuk “Mengurus Cabaran Psikologi Pemimpin dalam Era Digital: Pendekatan Imam al-Ghazali”, dan
YBhg. Prof. Madya Dr. Alwi bin Mohd Yunus (UiTM Shah Alam) dengan tajuk “Prophetic Leadership Kompas Kepimpinan Digital”.
Sepanjang seminar, peserta didedahkan dengan pelbagai pendekatan ke arah membentuk pemimpin yang seimbang dari aspek spiritual, emosi dan intelektual, sejajar dengan aspirasi Malaysia Madani.
Seminar ini bukan sahaja menjadi medan perkongsian ilmu dan pengalaman, tetapi juga memperkukuh komitmen ILIM dalam melahirkan barisan pemimpin Islam yang berintegriti, berakhlak dan berjiwa ihsan dalam mendepani cabaran era digital.
Diharapkan melalui penganjuran seminar ini, para peserta dapat mengaplikasikan nilai-nilai ihsan, rahmah dan hikmah dalam kepimpinan masing-masing serta menjadi agen perubahan yang mampu membawa organisasi dan masyarakat ke arah pembentukan tamadun Malaysia Madani yang sejahtera dan berteraskan nilai Qurani.