BANGI, 19 Oktober 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah melabuhkan tirai kepada Islamic Affairs in Malaysia: Governance & Administration Course – Sri Lanka yang berlangsung selama dua minggu bermula 5 hingga 19 Oktober 2025 di ILIM, Bangi.
Kursus ini disertai oleh 15 orang peserta dari Sri Lanka dengan matlamat untuk meningkatkan kefahaman tentang sistem tadbir urus dan pentadbiran hal ehwal Islam di Malaysia, termasuk struktur institusi, dasar serta amalan terbaik dalam pelaksanaannya. Ia turut bertujuan untuk memperkukuh kemahiran praktikal peserta dalam aspek pengurusan institusi Islam dan pelaksanaan dasar melalui siri lawatan, bengkel, dan sesi libat urus bersama agensi utama.
Selain itu, program ini juga memberi penekanan kepada usaha untuk memupuk penghargaan silang budaya dan semangat kerjasama positif antara Malaysia dan peserta antarabangsa, khususnya dalam konteks pengukuhan institusi Islam sebagai minoriti.
Sepanjang dua minggu, peserta telah melalui pelbagai sesi pembelajaran interaktif, termasuk penerokaan aspek pengurusan halal, zakat, kewangan Islam, pendekatan Islam dalam menangani ekstremisme, serta ilmu falak yang berperanan sebagai pemangkin penyatuan ummah.
Penganjuran kursus ini menjadi platform penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama antara Malaysia dan Sri Lanka dalam bidang tadbir urus Islam, sekali gus menyokong aspirasi ILIM sebagai pusat latihan unggul dalam melahirkan pemimpin Islam yang berwawasan global.









