Bangi, 16 Oktober 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) JAKIM Kampus Utama Bangi melalui Program Teras telah berjaya melaksanakan Kursus Comparative Religion: Pemahaman Agama-Agama Dunia yang berlangsung selama 4 hari bermula pada 13 sehingga 16 Oktober 2025.
Kursus ini bermatlamat untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman peserta terhadap agama-agama utama di Malaysia khasnya dan di dunia amnya. Pendedahan ini penting sebagai asas dan persediaan kepada pegawai dalam melaksanakan aktiviti dialog antara agama bagi mewujudkan hubungan dan interaksi yang harmoni dengan masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. Pengetahuan terhadap konsep pegangan agama dan pantang larang penganut bukan Islam juga penting dalam aspek dakwah supaya lebih berstrategik dalam mendekati mereka. Seramai 51 orang Pegawai Hal Ehwal Islam pelbagai gred daripada JAKIM, JAIN, YADIM, KAGAT, Jabatan Mufti, dan IPT telah menyertai kursus ini.
Seorang penceramah yang pakar dalam bidang perbandingan dan dialog antara agama telah dijemput untuk berkongsi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman sepanjang kursus ini. Beliau adalah YBrs. Prof. Dr. Kamar Oniah binti Kamaruzaman yang merupakan seorang mantan Profesor di UIAM. Beliau merupakan seorang tokoh yang berkepakaran dan berpengalaman luas dalam bidang ini. Selain terlibat sebagai pensyarah atau pendidik dalam bidang perbandingan agama dan dialog antara agama, beliau juga banyak terlibat menyampaikan ceramah di dalam dan di luar negara.
Kursus ini turut menjelaskan mengenai kepentingan aktiviti dialog antara agama bagi mencegah sebarang salah faham dan perselisihan yang kerap berlaku di dalam masyarakat. Negara kita yang berbilang kaum dan agama sentiasa terdedah kepada perselisihan dan konflik yang boleh menggugat perpaduan. Semoga kursus ini sedikit sebanyak dapat memperlengkapkan peserta dengan pemahaman agama-agama di Malaysia yang sekaligus dapat memperkasa keharmonian hubungan antara umat beragama di negara ini.



