WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
BANGI, 16 Oktober 2025 – Kursus Sijil Tinggi Kaunseling Syar‘ie dan Pengurusan Runding Cara Kekeluargaan Islam Tahap Lanjutan anjuran Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi telah berlangsung dengan jayanya.
 
Kursus ini menghimpunkan pegawai-pegawai hal ehwal Islam, perunding cara kekeluargaan dan kaunselor Syar‘ie serta pegawai khidmat nasihat daripada pelbagai agensi kerajaan dan institusi agama. Ia bertujuan memperkukuh kefahaman, kemahiran dan nilai profesionalisme dalam memberikan khidmat bimbingan, kaunseling syar’ie serta runding cara Islam yang holistik dan berasaskan syariah.
 
Antara pengisian kursus adalah PFA – Psikospiritual Islam Sebagai Intervensi Awal dan Mengenali Kecelaruan Jiwa dari Perspektif Psikospiritual Islam disampaikan oleh Prof. Dr. Che Zarrina binti Sa‘ari dari Universiti Malaya (UM).
Pendekatan ‘Ilaj dalam Kaunseling Syar‘ie oleh Ustaz Mohd Syukri bin Kamis, Kaunselor Berdaftar.
 
Slot Pembentangan Laporan Pengendalian Sesi Runding Cara yang dikendalikan oleh Prof. Madya Dr. Hj. Mohd Noor bin Saper dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bersama fasilitator Ustaz Mohd Syukri bin Kamis.
 
Pengurusan Kes Keganasan Rumah Tangga oleh Puan Nazare Yusra binti Mohamed @ Yusof dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan juga sesi lawatan ke Bahagian Kaunseling dan Latihan, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Bagi meraikan peserta yang telah memberikan komitmen yang tinggi menghadiri kursus sebanyak 4 tahap pada tahun ini, Majlis Perasmian dan Penyampaian Sijil juga telah diadakan dan disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Turut hadir memeriahkan majlis ini ialah YBrs. Puan Norhayati binti Jaffri Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Dasar dan Latihan dan Puan Syukreyah binti Zawawi Ketua Penolong Pengarah Kanan Pusat Kecemerlangan dan Kepimpinan Islam serta pegawai-pegawai kanan ILIM.
 
Dalam ucapan perasmian tersebut beliau menekankan bahawa isu insan perlu dan wajar ditangani dengan sebaiknya melalui pendekatan Key Person of Influence iaitu bertindak sebagai individu yang memberi pengaruh positif dan membimbing masyarakat ke arah kesejahteraan berasaskan nilai Islam.
 
Di samping itu beliau juga menyeru agar para peserta terus memainkan peranan sebagai ejen perubahan dan pendamai ummah, menerapkan prinsip kasih sayang, empati dan hikmah dalam menangani isu-isu kekeluargaan serta cabaran sosial masa kini.