Bangi, 10 Okt 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Program Pembangunan Insan telah menganjurkan Kursus Bahasa Mandarin- Jambatan Komunikasi Dakwah pada 8 hingga 10 Oktober 2025.
Kursus ini merupakan satu cabang ilmu penguasaan bahasa yang diperkenalkan oleh ILIM pada tahun ini. Ianya bertujuan mendedahkan peserta, khususnya Pegawai Perkhidmatan Hal Ehwal Islam serta penjawat awam, tentang kepentingan menguasai bahasa lain dalam mendepani usaha dakwah kepada masyarakat.
Program ini disertai oleh 30 orang peserta serta dipimpin oleh penceramah jemputan iaitu Ustaz Syafiq Liow. Beliau merupakan penceramah bebas bertauliah di Lembah Klang yang juga penerbit rancangan radio penyiaran JAKIM berbahasa Mandarin. Pengalaman beliau dalam usaha-usaha dakwah melalui bahasa Mandarin dicurahkan kepada peserta sepanjang program tersebut.
Objektif utama program ini adalah pengenalan kepada peserta tentang sejarah bahasa Mandarin, pengenalan pinyin serta perbualan harian dalam bahasa Mandarin. Selain itu, peserta turut ditekankan melalui aktiviti berkumpulan dan pembentangan secara individu supaya lebih yakin berbicara dalam bahasa Mandarin.
Program ini juga diharap dapat membina kemahiran asas peserta untuk berkomunikasi dengan masyarakat Cina di sekeliling menggunakan bahasa Mandarin dengan lebih tepat dari segi sebutan.
Semoga peserta kali ini mendapat manfaat daripada program ini dan mencetuskan minat untuk mendalami lagi bahasa Mandarin di peringkat yang lebih tinggi.
Untuk melayari info lanjut, layari pautan berikut: https://ilim.islam.gov.my/ms/
Untuk info dan permohonan kursus, layari pautan: https://itis.islam.gov.my/


