Bangi, 9 Oktober 2025- Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Kursus Fiqh Taʿayush dalam Pemikiran Politik Islam pada 7 hingga 9 Oktober 2025 bertempat di Kampus Utama Bangi. Kursus selama tiga hari ini menampilkan barisan penceramah yang pakar dalam bidang siyasah syarʿiyyah dan pemikiran politik Islam untuk membimbing peserta dari kalangan penjawat awam skim perkhidmatan hal ehwal Islam agar lebih memahami fiqh taʿayush serta pemikiran politik Islam, mengaitkan prinsip syariah dengan tadbir urus masyarakat majmuk, menganalisis isu-isu kontemporari seperti ekstremisme, Islamofobia dan populisme politik ke arah membina kehidupan masyarakat yang adil, damai dan inklusif berteraskan Islam.
Antara penceramah jemputan sepanjang kursus ini ialah Dr. Mohd Zuhdi bin Ahmad Khassasi (IPGM Kampus Pendidikan Islam), Prof. Dr. Arieff Salleh bin Rosman (Fakulti Sains, Sosial dan Kemanusiaan, UTM), Dr. Muhammad Safwan Harun (Jabatan Fiqh & Usul, Akademi Pengajian Islam UM), Prof. Madya Dr. Mohamad Zaidi bin Abdul Rahman (Jabatan Siyasah Syar’iyyah, UM) dan Prof. Madya Dr. Mohd Khairul Naim bin Che Nordin (Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, UM)
Penganjur mengharapkan agar para peserta dapat mempertingkat dan memperkukuhkan kefahaman di samping memupuk sikap keterbukaan, toleransi dan kesederhanaan serta menjadi agen penyebar kefahaman Islam yang sederhana (wasatiyyah), inklusif dan mampu menyumbang kepada keharmonian negara.


