Bangi, 30 September 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Kampus Utama Bangi melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam (PKKI) sekali lagi berjaya menarik perhatian dengan penganjuran Kursus Kecerdasan Buatan (AI): Perkhidmatan Hal Ehwal Islam Siri 2/2025 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Datuk Mohd Shahir.
Kursus ini memberi pengalaman segar kepada peserta untuk meneroka pelbagai aplikasi AI yang semakin popular dalam penjanaan teks dan idea, slaid pintar, rekaan kreatif, avatar serta video generatif. Lebih menarik, semua slot dikendalikan secara hands-on oleh penceramah daripada Salampro Group yang bukan sahaja berkongsi teori tetapi juga mengajak peserta terus mencuba teknologi AI dalam tugasan sebenar.
Hasilnya, ramai peserta teruja kerana dapat melihat sendiri bagaimana AI mampu memudahkan kerja harian, mempercepat proses kreatif dan memberi nafas baharu dalam penyampaian perkhidmatan Hal Ehwal Islam. Kursus ini turut menjadi medan untuk mereka mencungkil idea baharu yang boleh diaplikasikan di jabatan masing-masing.
Secara keseluruhan, kursus ini berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan baik daripada para peserta. ILIM berharap pendedahan sebegini dapat menjadi pemangkin kepada penerapan teknologi AI yang lebih meluas dalam sektor Hal Ehwal Islam seiring dengan cabaran digital yang kian mendesak.



