WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi, 26 September 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), JAKIM telah menyempurnakan penutupan International Training Programme on Falak Competency, Imamship and Institutional Mosque Governance yang berlangsung dari 21 hingga 26 September 2025.
 
Program ini menghimpunkan seramai 22 peserta antarabangsa dari New Zealand dan Fiji, dengan pengisian merangkumi kuliah, bengkel praktikal, serta lawatan lapangan. Fokus utama adalah memperkukuh kefahaman dalam ilmu falak, memperkasa peranan imam sebagai pemimpin komuniti, serta mempertingkat tadbir urus institusi masjid dalam konteks masyarakat Islam minoriti.
 
Majlis penutup telah disempurnakan oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Dalam amanatnya, beliau menegaskan bahawa ilmu falak melatih disiplin dan kepatuhan kepada aturan Ilahi, manakala peranan imam bukan sekadar memimpin solat tetapi turut membimbing rohani, memberi nasihat serta memimpin komuniti. Beliau juga mengingatkan bahawa institusi Islam mesti ditadbir dengan integriti agar terus diyakini, di samping menyeru agar ukhuwah yang terjalin sepanjang program ini diteruskan dalam usaha memperkasa masyarakat.
 
Program ini bukan sahaja memperkaya ilmu dan kemahiran, malah mengeratkan silaturahim merentas benua, menghubungkan Malaysia dengan komuniti Muslim Pasifik, dalam semangat satu aqidah, satu qiblah dan satu ummah.