Bangi, 11 September 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah berjaya menganjurkan Kursus Eksekutif Imam pada 9 hingga 11 September 2025 bertempat di Kampus Utama ILIM, Bangi.
Kursus ini menghimpunkan para imam serta pegawai Hal Ehwal Islam daripada pelbagai agensi dan jabatan agama Islam peringkat Persekutuan dan Negeri. Matlamat utama kursus ini adalah untuk meningkatkan kompetensi kepimpinan, profesionalisme dan kredibiliti imam dalam mendepani cabaran kontemporari dan keperluan masyarakat semasa.
Antara barisan penceramah dan pengisian utama sepanjang tiga hari kursus ini berlangsung termasuklah:
- Ustaz Syahmi Syazeri Azmi, Pengarah Urusan Tadabbur Centre Sdn Bhd dengan tajuk “Tadabbur: Blueprint Kepimpinan al-Fateh” serta sesi perbincangan berkaitan nilai-nilai kepimpinan strategik.
- Al-Fadhil Ustaz Hassan Al fadhli bin Abdul Rahman, Imam Masjid Negara menyampaikan tajuk “Kemahiran dan Penguasaan Imam dalam Qiraat al-Quran”.
- Tuan Haji Nik Abdul Rahman bin Mustapha, AJK Falak Syarie & Melihat Anak Bulan Wilayah Persekutuan membawakan tajuk “Meneroka Alam Cakerawala” yang memberi perspektif astronomi dalam ibadah.
- Dr. Alizi bin Alias, Konsultan Psikologi Organisasi mengupas “Pendekatan Psikologi dan Kaunseling Dakwah” dengan penekanan kepada sokongan emosi dan komunikasi berkesan.
- Encik Noli bin Husin, Pengarah Operasi Hidayah Centre Foundation menyampaikan topik “Kemahiran Dakwah Kontemporari” yang memberi pendekatan segar kepada imam dalam berdakwah kepada generasi masa kini.
- Encik Ahmad Saifuddin bin Yusof, Consultant Trainer pula mengetengahkan topik “Etika dan Kredibiliti Imam dalam Penyelesaian Konflik” dengan penekanan kepada peranan imam sebagai pendamai dalam komuniti.
Keseluruhan kursus ini dirangka untuk memberi nilai tambah kepada para imam dari aspek etika, kepimpinan, komunikasi, psikologi dan dakwah, agar mereka mampu menjadi pemimpin komuniti yang dinamik, menyantuni masyarakat secara hikmah dan bersedia menghadapi cabaran zaman dengan yakin.
Dalam ucapan penutup kursus, YBrs. Puan Kasumawati binti Kassim, Ketua Penolong Pengarah Program Pembangunan Insan (PPI) yang mewakili pengurusan ILIM menzahirkan penghargaan kepada semua penceramah dan peserta serta menyatakan harapan agar latihan sebegini dapat diteruskan dalam membina barisan imam madani yang kompeten dan berwibawa.



