ILIM Kampus Bangi - 4hb September 2025 - Berakhir sudah Kursus Kemahiran Open Source Intelligence (OSINT) Dalam Pengendalian Kes Jenayah Syariah selama 3 hari bermula 2hb September 2025 hingga 4hb September 2025 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM). Matlamat utama kursus ini dianjurkan adalah bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran peserta berkaitan ilmu perisikan, teknik dan cara-cara untuk mendapatkan serta menganalisa maklumat menggunakan sumber terbuka (open source).
Kursus ini telah berjaya dilaksanakan dengan memberi pendedahan kepada seramai 25 orang Pegawai Penguatkuasa Agama seluruh negeri mengenai konsep sebenar OSINT dalam mendapatkan maklumat ketika menjalankan siasatan, khususnya dalam kes jenayah syariah. Kehadiran para Pegawai Penguatkuasa Agama dalam kursus ini telah memberi impak yang positif, di mana mereka bukan sahaja memperoleh ilmu baharu, malah dapat memperkukuhkan kemahiran dalam menjalankan tugas dengan lebih berkesan. Semangat para peserta juga terserlah, seiring dengan roh Maulidur Rasul yang bakal tiba, di mana keazaman untuk mencontohi nilai amanah, kebijaksanaan dan keadilan Rasulullah S A.W jelas terpancar sepanjang kursus ini dijalankan menjadikan kursus ini mencapai objektifnya.
Bagi melahirkan Pegawai Penguatkuasa Agama yang seimbang dari segi kekuatan intelektual dan spiritual berlandaskan fikrah Islamiah, penceramah jemputan adalah daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) iaitu Puan Nafizah binti Md Fauzi selaku Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Undang-undang JAKIM manakala penceramah daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia adalah Tuan Mohd Khaidir bin Abdul Rahman selaku Timbalan Pengarah, Puan Azimah binti Adnan selaku Timbalan Pengarah dan Puan Fatin Amirah binti Abd.Bari selaku Penolong Pengarah yang berpengalaman luas dalam melaksanakan siasatan kes menggunakan kaedah OSINT. Perkongsian ilmu dan pengalaman para penceramah merangkumi aspek teori serta praktikal ditekankan dalam medium penyampaian sesi pembelajaran.
Kursus ini telah mendapat komitmen yang sangat baik daripada semua peserta yang hadir. ILIM meletakkan harapan agar segala pengetahuan dan kemahiran yang diperoleh daripada kursus ini dapat diaplikasikan secara praktikal, seterusnya menjadi pemangkin kepada keberkesanan tugas penguatkuasaan syariah di lapangan. Semoga kursus ini menjadi titik tolak kepada peningkatan profesionalisme dan integriti dalam memartabatkan syariat Islam di negara kita.



