WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Langkawi, 29 Ogos 2025 – Langit malam Langkawi menjadi saksi usaha besar ILIM dalam memacu transformasi digital ilmu falak apabila berlangsungnya Kursus Empowerment ILIM Trainers for Digital Transformation and Strategic Management in Falak Competency Development pada 23 hingga 29 Ogos 2025 bertempat di Rebungan Resort.
 
Seramai 9 orang Perunding Latihan ILIM telah diberi peluang eksklusif menimba ilmu secara teori dan praktikal bersama pakar-pakar dari Observatori Nasional Langkawi.
 
Kursus ini bukan sekadar memperkukuh asas pengetahuan falak, tetapi turut membuka ruang baharu kepada peserta untuk menguasai teknologi teleskop digital, teknik pengimejan berkomputer, dan pemprosesan data falak. Malah, peserta juga dibimbing membina strategi pengajaran falak yang lebih inovatif dan berkesan.
 
Sepanjang tujuh hari berkursus, peserta tidak hanya ‘berteori di bilik kuliah’, bahkan diberi peluang meneroka angkasa malam Langkawi, mengendalikan teleskop sebenar, merakam imej objek langit, serta menganalisis data secara digital.
 
Majlis penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Pengarah Kanan ILIM, Puan Nor Safina binti Zainal yang menekankan kepentingan penguasaan teknologi digital dalam ilmu falak agar ia terus relevan dan mampu menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.
 
Kursus ini dijangka menjadi landasan penting dalam memperkukuh kompetensi falak digital di ILIM, sekaligus menyokong agenda strategik pengurusan ilmu Islam yang lebih berdaya saing seiring teknologi digital masa kini.
 
Dengan berakhirnya kursus ini, ILIM terus melangkah ke hadapan dalam memacu integrasi teknologi digital ke dalam bidang falak, membuktikan bahawa ilmu warisan Islam ini mampu terus relevan di era transformasi.