Bangi, 26 Ogos 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) telah menerima kunjungan hormat dan sesi perbincangan daripada delegasi Bahagian Pengurusan Halal (BPH), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membincangkan pelaksanaan serta pengukuhan kerjasama dalam Program Latihan Halal yang bakal dilaksanakan.
Delegasi BPH JAKIM diketuai oleh Tuan Haji Muhyidin bin Aziz @ Saari, Pengarah bersama Encik Iszam bin Padil, Ketua Penolong Pengarah, dan disambut mesra oleh Puan Nor Safina Zainal, Pengarah Kanan ILIM bersama barisan pengurusan kanan institut.
Sesi perbincangan ini memberi tumpuan kepada penyelarasan modul latihan, pengukuhan jaringan kerjasama strategik, serta usaha meningkatkan kompetensi pegawai di bahagian halal, khususnya dengan menekankan pembangunan keupayaan auditor/juruaudit halal.
Melalui pertemuan ini, kedua-dua pihak bersepakat untuk memperkukuh sinergi dalam usaha melahirkan tenaga pakar halal yang berpengetahuan, kompeten dan berdaya saing, selaras dengan aspirasi Malaysia sebagai hab halal global.
Turut hadir dalam sesi tersebut ialah pegawai-pegawai kanan dari Bahagian Pengurusan Halal JAKIM serta wakil pengurusan tertinggi ILIM.



