WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Bangi , 21 Ogos 2025 - Seminar Perundangan Syariah bertemakan “Hadhanah & Kepentingan dalam Melestari Masyarakat Madani” telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Datuk Mohd Shahir, ILIM pada 21 Ogos 2025. Seminar ini berjaya menghimpunkan seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada penjawat awam pelbagai agensi dan latar belakang, termasuk pegawai syariah, pegawai kebajikan, kaunselor serta pihak berkepentingan dalam hal ehwal undang-undang kekeluargaan Islam.
 
Isu hadhanah (hak jagaan anak) semakin mendapat perhatian dalam masyarakat moden apabila berlaku perceraian atau perebutan hak penjagaan antara ibu bapa. Kurangnya kefahaman masyarakat terhadap peranan Mahkamah Syariah, prinsip hukum syarak serta kerjasama antara institusi berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat menyebabkan banyak kes hadhanah tertangguh atau menimbulkan konflik berpanjangan. Justeru, penganjuran seminar ini amat signifikan bagi membina kefahaman yang lebih jelas dan komprehensif dalam kalangan masyarakat.
 
Seminar ini dirangka dengan objektif memperkukuh pengetahuan serta kefahaman para peserta mengenai konsep hadhanah dalam undang-undang keluarga Islam, di samping meningkatkan kesedaran tentang peranan dan kepentingan hadhanah dalam perundangan syariah.
 
Bagi mengupas topik hadhanah secara menyeluruh daripada pelbagai sudut, tiga orang ahli panel berpengalaman telah dijemput, iaitu:
• Profesor Madya Dr. Mohd Norhusairi bin Mat Hussin
Pensyarah, Universiti Malaya
o Membentangkan aspek konsep hadhanah dalam Islam dari sudut hukum dan maqasid syariah, termasuk keutamaan menjaga kebajikan anak dan keadilan dalam pembahagian tanggungjawab.
• Yang Arif Puan Nenney Shuhaidah binti Shamsuddin
Ketua Pendaftar, Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS)
o Memberikan pencerahan berhubung pelaksanaan dan cabaran Mahkamah Syariah dalam kes hadhanah, termasuk isu perundangan, prosedur mahkamah dan pertindihan bidang kuasa.
• Dr. Sopian bin Hj Brahim
Pengarah, Jabatan Pembangunan Kanak-kanak, Jabatan Kebajikan Masyarakat Putrajaya
o Menjelaskan peranan JKM dalam menyokong kebajikan kanak-kanak termasuk intervensi sosial dan kaunseling keluarga, serta usaha kerjasama antara agensi demi menjaga hak dan kebajikan anak.
Sesi forum ini dipenuhi dengan perkongsian ilmu yang menyeluruh, hujah-hujah bernas serta contoh kes sebenar yang membuka mata para peserta terhadap realiti lapangan dalam menangani isu hadhanah.
 
Secara keseluruhan, seminar ini:
• Telah berjaya mencapai matlamat penganjuran, dengan penglibatan aktif peserta dalam sesi soal jawab dan perbincangan.
• Meningkatkan kesedaran peserta terhadap peranan mereka dalam menyokong usaha institusi perundangan syariah dan kebajikan sosial.
• Memberikan pendedahan berharga kepada penggubal dasar, penguat kuasa, dan penyampai perkhidmatan berkaitan dengan amalan terbaik pengurusan hadhanah.
• Meningkatkan keyakinan peserta dalam mengurus kes-kes kekeluargaan yang kompleks dengan lebih berhemah, adil dan berpandukan prinsip syariah.
 
Penganjuran Seminar Perundangan Syariah ini membuktikan komitmen ILIM dalam memperkukuh kefahaman dan amalan perundangan Islam, khususnya dalam isu-isu berkaitan kekeluargaan seperti hadhanah. Diharapkan seminar ini dapat menjadi pemangkin ke arah pembentukan masyarakat madani yang lebih berilmu, bertanggungjawab dan lebih cakna sejajar dengan tuntutan syariah dan realiti semasa.
Pihak ILIM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua panel jemputan, peserta dan urus setia yang telah menjayakan seminar ini dengan penuh komitmen dan dedikasi.