Bangi, 20 Ogos 2025 - Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Kursus Kelestarian Institusi Islam: Pendekatan Tadbir Urus Maqasid Syar’iyyah dalam Era Dinamik pada 18 hingga 20 Ogos 2025 bertempat di Bilik Kuliah al Biruni, Kampus Utama ILIM Bangi.
Kursus ini disertai oleh seramai 32 orang pegawai Hal Ehwal Islam dari pelbagai agensi termasuk JAKIM, Agensi-Agensi Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Majlis Ugama Islam Pahang, Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Penganjuran kursus ini bertujuan memperkukuh kefahaman peserta terhadap prinsip Maqasid Syar’iyyah sebagai asas tadbir urus institusi Islam yang lestari, meningkatkan keupayaan perancangan dasar secara strategik dan berkesan, serta membentuk budaya pengurusan yang telus, berintegriti dan responsif terhadap cabaran persekitaran semasa.
Antara pengisian menarik yang disampaikan oleh tokoh akademik dan pengamal dalam bidang pengurusan institusi Islam, antaranya ialah:
• YBrs. Prof. Dr. Mohd Roslan bin Mohd Nor (UM) – Pendekatan Maqasid Syar’iyyah dalam Sejarah dan Tamadun Islam serta Kaitannya dalam Tadbir Urus Institusi Islam dan Memahami Maslahah dan Mafsadah dalam Pelaksanaan Dasar dan Pembinaan Tamadun Islam
• YBrs. Dr. Nik Roskiman bin Abdul Samad (IKIM) – Etika dan Profesionalisme: Teras Transformasi Tadbir Urus Maqasid Institusi Islam Moden
• YBrs. Ustaz Mohamad Nazdri bin Mustakim (Masjid Negara) – Integriti & Akauntabiliti dalam Tadbir Urus Islam
• YBrs. Dr. Hisham bin Sabri (USIM) – Audit Tadbir Urus & Penilaian Syariah
• YBrs. Puan Zarina binti Mohd Sharif (Mantan Pegawai Audit JAIS) – Teori dan Aplikasi: Pelan Tindakan Tadbir Urus Institusi Islam
• YBrs. Encik Ahmad Hazim bin Alias (Tabung Haji) – Model Tadbir Urus Maqasid: Maslahah dan Potensi Kemajuan Ummah serta Makmal Maqasid: Merungkai Isu, Menjana Solusi
Sepanjang tiga hari berkursus, para peserta berpeluang menghayati pendekatan maqasid dalam dimensi sejarah, etika, integriti, audit, aplikasi pelan tindakan hinggalah kepada pembangunan model tadbir urus yang responsif dengan cabaran semasa.
Pihak penganjur berharap agar para peserta dapat mengaplikasikan ilmu dan pengalaman daripada kursus ini dalam pengurusan organisasi masing-masing seterusnya mampu memperkukuh kelestarian institusi Islam pada masa kini dan akan datang.



