Bangi, 30 Julai 2025 – Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam (PEPHEI) Siri 3/2025 melakar satu lagi pencapaian bermakna apabila berjaya melaksanakan Latihan di Lapangan (On The Job Training - OJT) selama tiga hari bermula 28 hingga 30 Julai 2025.
OJT ini melibatkan kerjasama strategik dengan 5 kementerian dan jabatan utama, merangkumi 16 agensi yang menjadi lokasi penempatan peserta. Antara agensi yang terlibat termasuk: Masjid-masjid utama di bawah pentadbiran JAKIM iaitu Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Penjara Malaysia.
Penyertaan pelbagai agensi ini bukan sahaja memperlihatkan jaringan kerjasama antara institusi, tetapi juga membuka ruang untuk peserta menimba pengalaman langsung dalam pelbagai bidang seperti pengurusan institusi keagamaan, intervensi sosial, pemulihan komuniti dan advokasi kesihatan awam.
OJT ini merupakan salah satu modul penting dalam struktur PEPHEI yang memberi fokus kepada pembangunan kemahiran sosial dan interpersonal, sekaligus mengasah keupayaan peserta dalam aplikasi pengetahuan, komunikasi efektif, serta kecekapan mengurus realiti lapangan yang mencabar dan kompleks.
Para peserta telah memberikan maklum balas yang amat memberangsangkan dan menyifatkan pengalaman ini sebagai satu titik perubahan penting dalam membina identiti mereka sebagai pemimpin Hal Ehwal Islam yang bersifat penyayang, berpandangan jauh dan bersedia turun ke akar umbi masyarakat.
Latihan lapangan ini selaras dengan matlamat PEPHEI dalam melahirkan pegawai yang bukan sahaja berpengetahuan tinggi dalam dasar dan pengurusan, malah mampu menjadi agen perubahan melalui pendekatan dakwah yang strategik dan berkesan.





