BANGI, 30 Julai 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) melalui Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam telah berjaya menganjurkan Kursus Pengacaraan Majlis selama dua hari pada 29 dan 30 Julai 2025 bertempat di Kampus Utama ILIM, Bangi.
Kursus ini menghimpunkan seramai 52 orang peserta dari pelbagai agensi di bawah YB Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Penganjuran kursus ini bertujuan untuk memperkasakan kemahiran pengucapan awam dan pengendalian majlis rasmi dalam kalangan penjawat awam, selari dengan keperluan semasa protokol dan etika komunikasi dalam sektor kerajaan.
Menariknya, kursus ini telah dikendalikan oleh Tuan Haji Mohammed Shahril bin Sarapudin, Penerbit Seksyen Ehwal Semasa, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) yang berpengalaman luas dalam bidang penyiaran, pengacaraan dan komunikasi rasmi. Sepanjang kursus, peserta didedahkan kepada teknik dan pendekatan praktikal dalam mengendalikan majlis formal, termasuk aspek penggayaan suara, kawalan emosi, struktur skrip dan etiket pentas.
Peserta turut diberi peluang untuk melakukan simulasi secara langsung bagi menguji tahap kefahaman dan kemahiran yang diperoleh. Respon peserta menunjukkan kursus ini bukan sahaja bermanfaat, malah membuka ruang baharu dalam membentuk keyakinan diri serta penyampaian mesej yang lebih berkesan dalam konteks kerja seharian.
ILIM berharap penganjuran kursus seumpama ini akan terus menjadi pemangkin dalam melahirkan penjawat awam yang bukan sahaja berwibawa dalam kepimpinan, tetapi juga berketerampilan dalam menyampaikan imej profesional agensi di mata masyarakat.


