WAKTU SOLAT BAGI KUALA LUMPUR, PUTRAJAYA IMSAK : | SUBUH : | SYURUK : | ZOHOR : | ASAR : | MAGHRIB : | ISYAK :
Kuala Lumpur, 24 Julai 2025 – Seramai 55 peserta Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam (PEPHEI) Siri 3/2025 telah mengadakan Corporate Visit ke Ibu Pejabat FELDA, menimba pengalaman berharga daripada institusi korporat yang telah menjadi teras pembangunan luar bandar dan komuniti Malaysia selama lebih enam dekad. Corporate Visit ini telah diketuai oleh Puan Shukreyah binti Zawawi, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Pusat Kecemerlangan Kepimpinan Islam, ILIM, yang mewakili YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM. Turut hadir Encik Zulkifli bin Tukiman, Penyelaras PEPHEI Siri 3/2025 dan pegawai-pegawai kanan ILIM.
 
Delegasi ILIM telah disambut mesra oleh YBhg. Dato’ Mohd. Banuri bin Aris, Timbalan Pengarah Besar Pembangunan Komuniti FELDA, diiringi pengurusan tertinggi FELDA, dalam suasana penuh profesional dan ukhuwah. Sesi taklimat korporat yang padat dan informatif telah disampaikan oleh YBrs. Cik Noorhayati binti Abdul Hadi, Timbalan Pengarah Jabatan Komunikasi Strategik FELDA. Taklimat ini memperincikan aspek pengurusan strategik FELDA, model tadbir urus korporat, serta kejayaan FELDA dalam memperkasa komuniti peneroka melalui pelbagai inisiatif pembangunan ekonomi, sosial dan pendidikan.
 
Program lawatan ini membuka peluang kepada para peserta untuk memahami secara langsung bagaimana FELDA mengadaptasi prinsip-prinsip kepimpinan, integriti dan ketelusan dalam urus tadbir, sejajar dengan misi nasional memperkasa sektor awam yang berprestasi tinggi. Lawatan ini juga menjadi medan perkongsian pintar antara FELDA dan ILIM dalam usaha memperkukuh amalan pengurusan Islamik serta meneroka sinergi baharu ke arah pembinaan masyarakat madani.
 
Program ini membuktikan bahawa institusi korporat seperti FELDA bukan sahaja relevan dalam konteks pembangunan ekonomi, tetapi juga menjadi model kepimpinan dan pengurusan cemerlang yang wajar dicontohi oleh PHEI masa kini.