Bangi, 22 Julai 2025 – “Dalam dunia penuh ketidakpastian, seorang Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) mesti menjadi tiang kepada masyarakat yang ilmunya, luas wawasannya dan tinggi integritinya”. Demikian antara intipati utama yang ditekankan oleh YBhg. Kolonel Datuk Haji Mohd Ajib bin Ismail, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam program ILIM Leadership Talk yang berlangsung di Auditorium As-Syafie, ILIM Kampus Utama Bangi.
Program ini merupakan sebahagian daripada pengisian Program Eksekutif Pengurusan Hal Ehwal Islam Siri 3/2025 kepada PHEI Gred S9 yang berlangsung bermula pada 16 Jun hingga 6 Ogos 2025 dalam usaha memperkukuh kepimpinan dan profesionalisme PHEI masa kini.
Dalam ucapannya, YBhg. Kolonel Datuk TKPO JAKIM menekankan keperluan seorang PHEI untuk bersedia menghadapi dunia VUCA — Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity dengan kekuatan spiritual, kecaknaan strategik dan kecekapan kendiri.
“Kita tidak boleh lagi bekerja secara rutin. Seorang PHEI hari ini perlu peka terhadap geopolitik, ekonomi Islam global, naratif baharu masyarakat digital, serta ancaman pemikiran liberal ekstrem. Kekuatan ilmu dan kejelasan visi adalah senjata utama dalam dunia VUCA ini,” ujar beliau. Antara cabaran utama yang diketengahkan termasuklah polarisasi agama dan budaya yang semakin mencabar kefahaman Islam sebenar, tekanan media sosial terhadap institusi agama, ketidaktentuan dasar yang memerlukan PHEI bersifat adaptif, kekaburan peranan PHEI dalam organisasi yang bersifat silo.
Menghadapi realiti ini, beliau menyarankan supaya setiap PHEI memperkukuh identiti sebagai pemimpin Rabbani, yang bukan sahaja cekap mengurus pentadbiran, tetapi juga mampu menjadi murabbi dalam komuniti dan organisasi.
Beliau turut berkongsi tiga teras utama sebagai persediaan seorang PHEI:
1. Ilmu yang mendalam dan menyeluruh – penguasaan syariah, perundangan, tadbir urus dan komunikasi.
2. Kebolehan membuat keputusan dalam ketidakpastian – kemahiran analitik, empati sosial dan keberanian moral.
3. Kepimpinan berteraskan akhlak – nilai amanah, taqwa dan integriti mesti menjadi DNA seorang penjawat awam Islam.
Program ILIM Leadership Talk yang turut dihadiri oleh YBrs. Puan Nor Safina binti Zainal, Pengarah Kanan ILIM serta pegawai-pegawai ILIM berakhir dengan sesi soal jawab yang membangkitkan pelbagai isu kontemporari termasuklah cabaran dan strategi memartabatkan PHEI sebagai strategic enabler dalam ekosistem pengurusan dan pentadbiran yang merentasi bidang.
ILIM terus komited menjadi medan memperkasa kepimpinan Hal Ehwal Islam yang bersifat future-ready, selari dengan tuntutan zaman dan cita-cita besar ummah.
❞𝐉𝐀𝐊𝐈𝐌 𝐔𝐍𝐓𝐔𝐊 𝐔𝐌𝐌𝐀𝐇❞




