Langkawi, 17 Julai 2025 – Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menganjurkan Kursus Prapersaraan JAKIM 2025 bertempat di Bayview Hotel, Langkawi. Kursus ini telah berlangsung selama empat hari bermula 14 hingga 17 Julai 2025 melibatkan penyertaan pegawai-pegawai kanan JAKIM yang akan menempuh fasa persaraan dalam tempoh terdekat. Penganjuran kursus ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan JAKIM dalam memastikan persiapan menyeluruh pegawai dari sudut fizikal, mental, emosi dan spiritual menjelang alam persaraan.
Kursus ini menumpukan kepada pengukuhan kefahaman peserta terhadap prosedur dokumentasi, jenis-jenis faedah yang layak diterima serta ganjaran persaraan selain perubahan peranan dan tanggungjawab selepas bersara dengan memberi fokus kepada aspek perancangan kewangan, pengurusan harta, penjagaan kesihatan, pembangunan kendiri serta kehidupan berkeluarga dan bermasyarakat. Di samping itu, elemen motivasi dan inspirasi turut diterapkan melalui perkongsian pengalaman, sesi interaktif serta perbincangan terbuka bersama perceramah jemputan yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.
Pendekatan kursus yang seimbang antara pengisian teori, aktiviti reflektif dan sesi lawatan telah memberi ruang kepada peserta untuk menilai kembali perjalanan kerjaya serta membina visi kehidupan yang lebih bermakna pasca persaraan. Malah, nilai-nilai kekeluargaan, kerohanian dan ukhuwah yang disemai sepanjang program telah menyuntik semangat positif dan memperkukuh hubungan sesama peserta.
Secara keseluruhan, Kursus Prapersaraan JAKIM 2025 telah mencapai objektifnya dalam menyediakan persediaan menyeluruh kepada para peserta untuk menghadapi fasa baharu dalam kehidupan mereka. Diharapkan ilmu, pencerahan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini akan menjadi panduan berharga dalam mengisi hari-hari persaraan dengan lebih terancang, tenang dan bermakna.







